SRKK AI sasar kumpul modal RM20.48 juta melalui IPO

Dari kiri Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Wee Shee Na dan Chew Sue Ann; Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Operasi, Yeoh Kai Hearn; Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Eksekutif SRKK AI Bhd, Yew Lip Sin; Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif, Rahima Beevi Mohamed Ibrahim; Pengarah Eksekutif TA Securities, Shaari Mat Hussin; Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Strategi, Alex Lam; Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Yeoh Chen Chow; dan Naib Presiden Kewangan Korporat Shum Sze Ling bergambar sempena pelancaran prospektus Tawaran Awam Permulaan (IPO) SRKK AI Bhd – NSTP/HAIDATUL ELYANI HERMAN

Written by Berita Harian

KUALA LUMPUR: Penyedia penyelesaian transformasi digital, SRKK AI Berhad, menyasarkan untuk mengumpul RM20.48 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd bagi memperkukuh inisiatif strategik dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

IPO syarikat itu melibatkan terbitan awam sebanyak 64 juta saham baharu pada harga 32 sen sesaham serta tawaran untuk jualan sebanyak 13 juta saham.

Ketua Pegawai Eksekutif SRKK AI, Yew Lip Sin, berkata dana daripada IPO itu akan digunakan untuk mempercepat strategi syarikat berteraskan AI sejajar dengan peningkatan penggunaan penyelesaian AI dalam kalangan perusahaan serta potensi besar pasaran berkenaan di Malaysia.

“Penyelesaian berasaskan AI menyumbang 11 peratus atau RM11.8 juta kepada hasil syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, sekali gus mencerminkan peningkatan penerimaan teknologi itu dalam kalangan pelanggan korporat.

“Sejak 2022, kami berjaya mengintegrasikan AI ke dalam penyelesaian pelanggan dan melihat peningkatan penggunaan teknologi ini. Ia menunjukkan syarikat kini beralih daripada sekadar meneroka AI kepada melaksanakannya dalam operasi perniagaan,” katanya.

Beliau berkata hasil IPO akan digunakan untuk menyokong strategi AI syarikat termasuk penubuhan makmal AI dan akademi AI serta pembangunan penyelesaian analitik data dan perisian berasaskan AI.

Daripada jumlah RM20.48 juta yang dikumpul, RM4 juta diperuntukkan bagi inisiatif pertumbuhan AI, RM1.84 juta untuk pengembangan operasi ke Indonesia, RM3.7 juta bagi pembinaan Pusat Operasi Keselamatan (SOC) dalaman, RM1.8 juta untuk penjenamaan dan pemasaran, RM4.64 juta sebagai modal kerja, manakala RM4.5 juta bagi perbelanjaan penyenaraian.

Menurut Yew, makmal AI akan membolehkan pelanggan merancang pelan transformasi digital serta menguji penyelesaian yang sesuai dengan keperluan perniagaan masing-masing.

Pada masa sama, akademi AI akan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan bagi memenuhi permintaan tenaga kerja mahir dalam bidang berkenaan.

Mengulas pengembangan ke Indonesia, beliau berkata pengalaman syarikat di Singapura menunjukkan tempoh kira-kira tiga tahun diperlukan untuk membina kepercayaan pelanggan dan menstabilkan operasi.

Bagaimanapun, beliau optimis proses itu boleh dipercepatkan di Indonesia dengan sokongan strategik daripada Microsoft sebagai rakan kongsi.

“Hasilnya, kami telah melaksanakan empat projek perintis atau ‘proof of concept’ (POC) di sana dengan sokongan Microsoft yang membantu membuka akses kepada pelanggan berpotensi, khususnya dalam bidang data dan AI.

“Daripada empat POC itu, kesemuanya merupakan projek berbayar dengan sebahagian kos dibiayai Microsoft. Tugas kami kini adalah menukarkan POC ini kepada projek sebenar,” katanya.

Selain itu, SRKK AI merancang membangunkan platform perancangan dan ramalan rantaian bekalan berasaskan AI bagi sektor pembuatan serta makanan dan minuman, selain penyelesaian pemantauan serta pelaporan prestasi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Permohonan IPO dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada 25 Jun 2026, dengan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia dijangka pada 9 Julai 2026.

SRKK AI merupakan rakan kongsi Microsoft serta antara penyedia tempatan pertama yang memperoleh kesemua enam kompetensi teknikal utama di bawah program Microsoft AI Cloud Partner.

Syarikat itu turut memaklumkan Microsoft sedang melabur sekitar AS$2.2 bilion dalam pembangunan infrastruktur AI dan awan di Malaysia, yang dijangka membuka lebih banyak peluang kepada rakan kongsi tempatan.